Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berpandangan bahawa sebarang isu dan tuntutan yang mahu dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya dibawa ke mahkamah.

Beliau menyifatkan 'gurauan serius' terbaharu itu bukan suatu perkara yang baharu dan pihaknya bersedia mengambil pendekatan untuk mendengarnya secara 'serius' iaitu melalui tindakan undang-undang.

"Menteri Besar Kedah menyatakan bahawa beliau buat 'gurauan serius' bahawa negeri Pulau Pinang adalah milikan Kedah, satu gurauan yang bukan baru, tetapi 'gurauan serius' maka kita dengar dengan serius jugalah.

"(Muhammad) Sanusi boleh terus bergurau, seperti isu-isu sebelum ini kita kata, jumpa di mahkamah, walau apa-apa tuntutan termasuk bayaran air, tuntutan Pulau Pinang termasuk Seberang Perai, tetapi sehingga kini, dia cuma bergurau sahaja dan tidak pernah ambil apa-apa tindakan," katanya di sini, hari ini.

Chow ketika ditanya mengenai nasihat kepada Muhammad Sanusi secara berseloroh menjawab bahawa beliau 'tidak berani' menasihati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan.

"Saya tidak berani nak nasihat dia, kalau nak nasihat mungkin rakyat atau pengundi boleh beri nasihat.

"Mungkin dia tidak ada isu pun nak disebut sempena PRN (Pilihan Raya Negeri) nanti," katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi sekali lagi menyatakan Pulau Pinang adalah milik Kedah dengan negeri tersebut hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Chow Kon Yeow. FOTO BERNAMA
Chow Kon Yeow. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 8:42 PM