Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: PAS menyifatkan manifesto yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ini sebagai satu manifesto yang lama.

Timbalan Pesuruhjaya PAS I, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, yang juga Naib Presiden PAS, mempertikaikan manifesto BN-PH berikutan tidak menyebut mengenai perancangan untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.

"Diskaun (dikemukakan BN-PH), kita pun ada buat, begitu juga dengan tunggakan bil tanah kita bagi diskaun sehingga 50 peratus. Ada juga cukai pintu yang kita hapuskan. Itu kita dah buat dan bukan satu benda baru dengan manifesto mereka.

"BN dan PH selalu sebut masalah besar di Kelantan ialah masalah air. Tiba-tiba dalam manifesto, dia tidak sebut masalah air termasuk apa perancangan, apa usaha, langkah dan program yang nak dibuat untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan.

"Jadi sepatutnya itu menjadi keutamaan dalam manifesto mereka. Situ kita nampak. Apa tujuan mereka duk serang dan kritik kerajaan (negeri) dalam isu air," katanya pada sidang media di Pejabat Penerangan PAS di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut mengakui dan tidak menafikan Kelantan mempunyai masalah air.

"Saya mengakui ada masalah air, cuma gambaran yang diberikan oleh musuh politik kita ini melampau.

"Ia seolah-olah satu negeri tidak air, satu negeri air keruh. Kita masalah bantuan Kerajaan Pusat dan kita akui ada sumbangan (Kerajaan Pusat) tetapi tidak cukup. Contohnya, kita perlu RM2 bilion, tapi dia bagi RM100 juta, RM200 juta. Macam mana nak selesai," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, 34 tawaran dikemukakan BN-PH di bawah empat teras sebagai manifesto kepada rakyat Kelantan pada PRN ini.

Empat teras berkenaan membabitkan aspek syiar Islam, ekonomi, pendidikan, wanita dan orang muda serta Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara. Tawaran lain merangkumi inisiatif menurunkan semula kadar premium tanah sehingga 50 peratus dan parkir percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 1:47 PM