Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Lebih 10 tawaran dijangka dikemukakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diumum esok.

Antaranya termasuk, persetujuan kerajaan membina sebuah Kolej Universiti al-Quran Tahfiz Sains di Kelantan.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, pengumuman manifesto akan dibuat Pengerusi BN negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

"Manifesto BN-PH kali ini sangat menarik kerana menyentuh semua lapisan golongan, selain akan memberi impak kepada pengundi.

"Janji kita adalah janji yang akan ditunaikan. Antara yang paling menarik adalah Kolej Universiti al-Quran Tahfiz Sains iaitu kita akan melahirkan golongan profesional yang menghafal al-Quran," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tawaran yang dikemukakan esok adalah jelas untuk memperbetulkan banyak kesilapan dan janji yang tidak ditunaikan kerajaan negeri.

"Kita yakin tawaran yang dikemukakan dalam kemampuan kita sekali gus dapat menarik sokongan pengundi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 12:10 PM
Md Alwi pada sidang media mengenai memaklumkan manifesto Barisan Nasional-Pakatan Harapan (PH) sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan esok bagi Pilihan Raya Umum ke 15 Dewan Undangan Negeri (PRN) di Pejabat UMNO Kelantan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR