Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan mengemukakan empat teras membabitkan 34 tawaran sebagai manifesto kepada rakyat Kelantan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Empat teras berkenaan membabitkan aspek syiar Islam, ekonomi, pendidikan, wanita dan orang muda serta perbadanan kemajuan Kelantan Utara.

Antara tawaran yang dikemukakan adalah menghapuskan tunggakan bil air, menurunkan caj permohonan bekalan air domestik untuk kediaman, menurunkan semula kadar premium tanah sehingga 50 peratus serta membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (Kelantan Sentral) dengan kadar segera.

Selain itu, menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, membina 5,000 unit rumah mampu milik, menurunkan kadar cukai pintu dan tunggakan sehingga 50 peratus serta memansuhkan bayaran letak kereta di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara tawaran lain adalah bantuan 'one-off' RM3,000 kepada pelajar anak Kelantan yang menerima tawaran di institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan RM1,000 kepada ibu bersalin anak pertama dan bantuan perkahwinan RM2,000 kepada pasangan anak Kelantan.

Manifesto berkenaan diumumkan oleh Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub di Pejabat Perhubungan Umno, di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, tawaran berkenaan dibuat dan dianggap terbaik untuk rakyat Kelantan selepas mengadakan perbincangan terperinci dengan pimpinan BN dan PH.

"Menerusi hidangan yang paling terbaik dan tidak dianggap retorik ini, saya berharap dan merayu kepada pengundi serta rakyat Kelantan supaya memberi mandat kepada kami pada 12 Ogos nanti.

"Apa yang kami janjikan ini akan dilaksanakan dengan kadar segera sekiranya diberi mandat selepas lebih tiga dekad Pas mentadbir Kelantan," katanya.

Pada masa sama, beliau turut berjanji jika diberi mandat, mereka akan mengekalkan perkara yang baik yang dilakukan kerajaan sedia ada selain menambah baik banyak perkara demi rakyat.

"Jika kita diberi mandat, kita akan mengemukakan tawaran baru selepas separuh penggal pemerintahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 1:03 PM