AHMAD Jazlan. FOTO arkib NSTP
AHMAD Jazlan. FOTO arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Belum wujud keserasian dalam kalangan rakyat Kelantan terhadap gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dipercayai menjadi faktor kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, usia gabungan itu yang masih baharu menyebabkan ada segelintir rakyat yang masih belum dapat menerima gabungan itu.

"Kita baru berusia lapan bulan, mungkin keserasian jentera sudah jelas ada tapi rakyat masih lagi belum menerima gabungan ini dan ini hakikat yang perlu kita terima.

"Kita terima penolakan rakyat bagaimanapun kita mempunyai masa yang masih panjang untuk memperbaiki dan berharap akhirnya rakyat akan terima kita," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata, rakyat Kelantan tidak menolak gabungan PH-BN secara total kerana dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi mereka dalam PRN ini iaitu DUN Galas yang menjadi milik BN manakala Kota Lama pula dimenangi Dr Hafizah Mustakim dari Amanah.

Menurutnya, hasrat Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kesemua 45 kerusi DUN ternyata gagal sekali gus membuktikan parti gabungan BN-PH masih diterima rakyat serta memerlukan masa untuk serasi.

"Kita kalah, kita tak kalah semua dan mereka (PN) menang pun tidak menang semua dan kita masih mempunyai 'popular vote'.

"Walaupun mereka merampas kerusi yang dimenangi BN sebelum ini iaitu di Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Kok Lanas tapi kita berjaya 'mencuri' dua kerusi iaitu di Galas serta Kota Lama sekali gus menggambarkan meskipun kita ditolak tapi kita masih diterima," katanya.

Ditanya mengenai tawaran manifesto yang mungkin gagal menarik perhatian rakyat Kelantan, Ahmad Jazlan menafikan perkara itu sebaliknya menyatakan bahawa rakyat negeri ini lebih menerima dasar yang sedia ada dijalankan kerajaan negeri.

Beliau berkata, ada segelintir mengakui manifesto yang ditawarkan parti gabungan BN-PH Kelantan itu yang terbaik dan menyeluruh tapi ada beberapa faktor yang dimainkan oleh PN menyebabkan rakyat termakan.

"Kita sudah menawarkan tawaran kepada rakyat Kelantan, akujanji dan manifesto yang difikirkan terbaik serta mampu dilaksanakan tapi malangnya rakyat menolak, kalau rakyat terima kita menang la.

"Rakyat menganggap apa yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri hari ini sesuai dengan mereka dan apapun kita terima dengan keputusan ini (kekalahan) dan kita akan perbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

"Kita ada tempoh empat atau lima tahun ini, Insya-Allah kita akan bangkit kembali dan yang penting kita harus mendekati serta meyakinkan rakyat bahawasanya acuan ini adalah yang terbaik untuk kemakmuran dan kestabilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 12:01 AM