BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiada sebarang laporan membabitkan isu 3R (Bangsa, Agama dan Raja) yang diterima berlaku di sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, kesalahan yang paling banyak dikesan di sepanjang PRN ini adalah membabitkan kesalahan khianat.

"PDRM paling banyak terima laporan khianat seperti kerosakan poster, fitnah, flash mob atau perhimpunan tanpa permit polis.

"Sebanyak 131 kertas siasatan pelbagai kesalahan PRN dibuka di enam negeri dan 1,770 laporan polis diterima sehingga tempoh malam tadi," katanya dalam sidang media khas selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, setakat ini proses pengundian di enam negeri terkawal dan tiada sebarang insiden berlaku.

"Orang ramai diminta keluar mengundi awal hari ini kerana cuaca tidak menentu, selain mengelakkan kesesakan trafik serta diminta mematuhi arahan polis yang bertugas di pusat-pusat pengundian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 12:47 PM