Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Selepas lebih 10 tahun tidak menggunakan perkhidmatan feri, Suraiya Khoo Abdullah, 55, tidak menyangka menjadi antara penumpang terawal satu daripada empat feri baharu yang mula beroperasi di sini, hari ini.

Feri Pulau Pinang kini berwajah baharu dengan adanya empat feri bernama Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar yang berulang alik dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di sini.

Suraiya berkata dia pulang bersendirian dari Segamat, Johor dengan menaiki bas untuk menziarahi kakaknya di Batu Maung, dekat sini dan teruja dengan kepantasan feri yang hanya mengambil masa 10 minit untuk perjalanan sehala.

"Saya tak rancang sebenarnya balik kampung naik bas dan turun di Butterworth jadi rasa bertuah sangat sebab sudah terlalu lama tak naik feri masa dulu kami kadang-kadang kena beratur tukar duit syiling untuk bayar tambang.

"Jadi syukur hari ini dapat naik secara percuma bau feri pun wangi serta selesa kerana dilengkapi penghawa dingin selain ada kemudahan bayar tanpa tunai," katanya ketika ditemui di PRTU di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulkhairi Zubir, 40, berkongsi rasa lega kerana lebih setengah tahun dia terpaksa berulang alik menggunakan Jambatan Pulau Pinang apabila perkhidmatan feri untuk motosikal dihentikan sementara sejak 1 Januari lalu.

"Saya tinggal di Bagan Ajam, Butterworth dan bekerja di Taman Tema Escape Teluk Bahang jadi kalau tiada feri saya kena keluar awal sekitar jam 5.15 pagi tetapi selepas ini kalau saya keluar jam 7 pagi masih sempat untuk sampai ke tempat kerja jam 8.30 pagi," katanya.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkhidmatan feri penting buat rakyat di negeri ini dengan 95 peratus daripada penumpang menggunakan medium pengangkutan itu untuk ke tempat kerja.

"Sukacita dimaklumkan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan menanggung kos tiket feri baharu selama sebulan sehingga 6 September bagi meringankan beban kewangan penumpang.

"Feri ini akan beroperasi setiap hari bermula jam 6.30 pagi di PSAH dan berakhir pada jam 9.30 malam manakala di PRTU, feri akan bermula pada jam 7 pagi dan berakhir pada jam 10 malam," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, sebanyak 68 trip dua hala disediakan setiap hari dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak dan 30 minit bagi waktu bukan puncak termasuk pada hari cuti umum dan hujung minggu.

Terdahulu, Kon Yeow turut menjadi antara individu terawal merasai pengalaman perjalanan pertama feri baharu yang tiba di PRTU pada jam 6.45 pagi dan disambut oleh Pengerusi PPSB, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk V Sasedharan berkata, pihaknya sedang mengkaji kadar tambang feri baharu itu dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

"Dianggarkan 100,000 penumpang menggunakan feri bagi perjalanan sehala dalam tempoh sebulan dan perkhidmatan feri baharu ini menyasar sebanyak 1.2 juta penumpang setahun bagi perjalanan sehala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 12:13 PM
Suraiya antara penumpang pejalan kaki terawal yang menggunakan perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang ketika ditemui di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), Georgetown. FOTO DANIAL SAAD
Suraiya antara penumpang pejalan kaki terawal yang menggunakan perkhidmatan feri baharu Pulau Pinang ketika ditemui di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), Georgetown. FOTO DANIAL SAAD