Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan majlis selepas hadir program Jelajah Perpaduan MADANI Pulau Pinang di Flat Kampung Melayu, Air Itam hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan majlis selepas hadir program Jelajah Perpaduan MADANI Pulau Pinang di Flat Kampung Melayu, Air Itam hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Muhammad Yusri Muzamir


Permatang Pauh: Malaysia dan Turkiye akan menjalin kerjasama bagi menangani Islamofobia di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara bakal membentuk gerakan bagi tujuan berkenaan dengan ia sudah dibincangkan menerusi panggilan telefon bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan, petang semalam.

Menurutnya, Islamofobia adalah sikap permusuhan terhadap Islam, terutama di negara barat di mana Islam dibenci hingga menimbulkan perbuatan seperti tindakan membakar al-Quran di Sweden.

Sehubungan itu, katanya, Erdogan meminta beliau mengadakan perjumpaan dan perbincangan untuk menghadapi isu Islamofobia bersama pemimpin berkenaan, pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), September ini.

"Kita bincang mengenai Islamofobia. Erdogan dan saya bersetuju mengetuai usaha ini. Beliau kata boleh tak kita berdua bangkitkan gerakan dan buat sesuatu bagi melawan serangan terhadap Islam terutama di Amerika Syarikat serta Eropah.

"Saya kata silakan, saya setuju dan kata kita akan siapkan kertas (kerja) serta bincang. Beliau menyatakan berhajat untuk ke Malaysia secepat mungkin," katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat bersama Perdana Menteri di Dataran Rakyat Guar Perahu di sini, malam tadi.

"Mengenai (insiden) pembakaran al-Quran, saya kata saya keluarkan kenyataan sangat keras mengutuk insiden terbabit dan terus keluarkan arahan penerbitan sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dan dalam bahasa Sweden," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu menebus kekalahan di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memastikan kemenangan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Presiden PKR mengakui reda serta menghormati keputusan rakyat, biarpun sedih dengan kekalahan di Parlimen Permatang Pauh itu.

"Tak apalah baru-baru ini kita kalah di Permatang Pauh... Dalam banyak-banyak saya sedih juga sikit, tapi tak apa keputusan itu saya hormat. Ada saya marah orang?

"Namun, kali ini (PRN Pulau Pinang) saya minta (DUN) Penanti, Permatang Pasir, Seberang Jaya dan juga calon di kawasan lain perlu bagi kemenangan bergaya kepada PH, " katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pihaknya yakin PH akan terus menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN kali ini, selain mampu merampas Kedah daripada PN termasuk kerusi DUN Jeneri yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Sanusi Md Nor.

"Insya-Allah tiga negeri ditadbir PH sebelum ini masih kuat di tangan kita malah saya lihat Kedah juga boleh kita tawan berikutan sambutan sangat baik ketika saya turun di sana, pada Jumaat termasuk di Jeneri apabila ribuan orang sambut saya.

"Saya tak mahu takbur tetapi saya jangka sekurang-kurangnya empat negeri kita boleh tawan pada PRN nanti," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan PH menawan sama ada tiga atau empat negeri pada 12 Ogos ini, tidak memberi perbezaan ketara kerana kedudukan gabungan itu masih kuat di peringkat Parlimen dan akan kekal mentadbir Kerajaan Perpaduan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 8:52 AM