NURUL Izzah. FOTO Arkib NSTP.
NURUL Izzah. FOTO Arkib NSTP.
Audrey Dermawan


Seberang Jaya: Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar terus berdiam diri berhubung kedudukannya sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, bulan depan.

Berucap kepada orang ramai di Jelajah Madani Seberang Jaya di sini malam tadi, Nurul Izzah bagaimanapun mengesahkan akan berkempen PRN pada 12 Ogos ini.

"Saya boleh mengesahkan saya akan berkempen pada PRN negeri ini," katanya sambil disambut dengan sorakan kuat.

Media sebelum ini melaporkan Naib presiden PKR itu menyatakan beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Seperti saya katakan sebelum ini, perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan dan saya perlu menunggu sehingga ia diumumkan," katanya.

Ditanya mengenai calon Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Jaya, beliau berkata, mereka perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan.

Beliau berkata Seberang Prai menghadapi banyak masalah sosioekonomi, terutama selepas pandemik Covid-19.

"Masyarakat ini menaruh harapan tinggi dan mereka mahu masalah dihadapi mereka dapat diselesaikan. Kita, Kerajaan Perpaduan sedaya upaya akan menyelesaikannya sebaik mungkin.

"Justeru, kami berharap rakyat dapat membantu dengan mengundi calon Kerajaan Perpaduan.

"Saya optimistik namun berhati-hati, saya merasakan kita tidak boleh mengambil mudah tentang pengundi," katanya sambil menyatakan Kerajaan Perpaduan berhadapan dengan pembangkang yang mempunyai kecenderungan untuk memainkan sentimen berita palsu dan melampau.

Dun Seberang Jaya, satu daripada tiga kerusi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, sebelum ini disandang Dr Afif Bahardin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 12:08 PM