Fuziah Salleh (tiga dari kanan) mendengar maklum balas daripada pengguna berkaitan harga yang ditawarkan pada perasmian Jualan Rahmah Peringkat Terengganu di Tapak Pasar Malam Tok Adis, Kuala Ibai. FOTO BERNAMA
Fuziah Salleh (tiga dari kanan) mendengar maklum balas daripada pengguna berkaitan harga yang ditawarkan pada perasmian Jualan Rahmah Peringkat Terengganu di Tapak Pasar Malam Tok Adis, Kuala Ibai. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyiasat aktiviti jualan secara dalam talian minuman kesihatan jenama SiHulk yang mendakwa boleh mengubati pelbagai jenis penyakit.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 bagi membendung sebarang bentuk pengiklanan produk kesihatan yang tidak sah dan tidak diperakui.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan produk SiHulk supaya melaporkannya kepada KPDN bagi membolehkan siasatan atau tindakan diambil.

"Setakat ini, kita belum menerima aduan berkaitan produk minuman itu, tetapi saya akan minta siasatan dilakukan bagi membanteras aktiviti jualan produk yang tidak menepati peraturan," katanya selepas merasmikan program Jelajah Jualan Rahmah di Kuala Ibai di sini, hari ini.

Fuziah berkata, syarikat yang ingin memasarkan produk dan mempromosikan kebaikan produk daripada segi kesihatan perlu mengemukakan bukti saintifik atau kajian yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Apabila nak pasarkan produk perlu daftar syarikat dan jika produk itu mendakwa atau menjanjikan sesuatu, perlu kepada kajian saintifik atau kelulusan KKM," katanya.

Julai lalu, media melaporkan penutupan aktiviti perniagaan membabitkan kilang air minuman yang dipasarkan kumpulan ajaran sesat SiHulk di Johor Bahru, Johor susulan penarikan sijil halal dan gagal mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

Minuman itu didapati mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan bagi menarik minat pembeli.

Bagaimanapun, produk terbabit didapati masih berleluasa dijual secara dalam talian di pelbagai platform e-dagang termasuk Shopee.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 3:32 PM