Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan rakyat supaya meningkatkan semangat perpaduan bagi menangkis suara yang cenderung mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama.

Baginda bertitah, suara bernada permusuhan itu berpotensi besar meracuni pemikiran rakyat untuk saling curiga sehingga boleh mencetuskan pertelingkahan, perselisihan dan perpecahan jika tidak segera dibendung.

"Negara memerlukan pemimpin yang mengamalkan sifat inklusif, pemimpin yang memiliki azam dan kebijaksanaan berupaya menganyam elemen yang pelbagai menjadi hamparan yang indah dan kukuh bertaut.

"Semoga harapan yang dizahirkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah pada 5 Ogos 1957, agar negara ini dilimpahi kebahagiaan yang berkekalan akan direalisasikan oleh setiap warga Malaysia," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia, di sini, semalam.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin turut menyifatkan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman sebagai pemimpin berpendirian konsisten mengenai komposisi rakyat di negara ini.

Titah baginda, Allahyarham juga memegang prinsip akan pentingnya dilaksanakan perimbangan bentuk dan

konsep pembinaan sebuah negara bangsa yang warganya hidup secara harmoni, kukuh berpadu dan teguh bersatu meskipun terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya serta menganut pelbagai agama.

"Dr Ismail dikenali dengan semangat kebangsaan Melayu yang tulen namun beliau berulang kali menegaskan bahawa masyarakat Malaysia ialah masyarakat berbilang kaum dengan budaya dan resam masing-masing.

"Ratusan atau mungkin ribuan ucapan disampaikan oleh Dr. Ismail di dalam negara dan di pentas antarabangsa.

"Pentingnya bagi negara ini mempunyai pemimpin yang menuju ke arah mencipta sebuah negara Malaysia yang

bersatu padu dalam kepelbagaian berkenaan.

"Dr Ismail memiliki karakter tepat di luar - tepat di dalam. Lidahnya bertutur dalam bahasa yang sama meski berhadapan kumpulan yang berbeza. Apa yang dikata, tetap dikota," titah baginda.

Rabu lalu, Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj-Tonggak Perpaduan Negara dianjurkan bagi mendidik generasi muda mengenai sumbangan tokoh itu dalam membangunkan negara di Dataran Merdeka.

Dr Ismail, Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dari 1971 hingga 1973, adalah antara tokoh penting yang menggariskan lima prinsip Rukun Negara ketika Malaysia berhadapan dengan peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Di akhir titah baginda, Sultan Nazrin kelihatan sebak ketika menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terbabit dengan penerbitan buku berkenaan.

"Beta zahirkan rasa besar hati kepada hadirin yang meluangkan masa, hadir untuk meraikan Beta dan memeriahkan majlis ini.

"Segala jasa dan bakti akan kekal abadi dalam memori, sepanjang hayat Beta," titah baginda.

Sementara itu ,Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa buku Siri Titah Il Sultan Nazrin Muizzuddin Shah adalah kesinambungan buku Siri Titah I Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

yang diterbit dan dilancarkan pada 2021.

DBP selaku penerbit buku berkenaan memberitahu bahawa buku itu mengandungi 35 titah Sultan Nazrin

antara 6 Februari 2017 hingga 21 Mac 2022 dan disusun dalam empat bahagian iaitu Institusi Raja, Tadbir Urus, Agama; dan Masyarakat dan Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:56 PM
Sultan Nazrin berkenan menghadiri majlis pelancaran buku dan wacana Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH
Sultan Nazrin berkenan menghadiri majlis pelancaran buku dan wacana Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO ASYRAF HAMZAH