ABDUL Aziz (empat dari kiri) bersama pemenang lain MARSAH pada Karnival Amal Islami di Kuala Ketil, Kedah.
ABDUL Aziz (empat dari kiri) bersama pemenang lain MARSAH pada Karnival Amal Islami di Kuala Ketil, Kedah.
Oleh Nor Farhani Che Ad


Sungai Petani: Kekurangan fizikal bukan halangan buat pelajar orang kurang upaya (OKU) penglihatan muncul naib johan dalam Pertandingan Hafazan al-Quran juzuk satu hingga lima sempena Karnival Amal Islami di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kuala Ketil, di sini, semalam.

Pelajar Tahun Satu Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat dari Kolej Pengajian Tinggi Islam Johor (MARSAH) Abdul Aziz Tasri, 21, berkata, kemenangan itu membuktikan golongan kurang bernasib baik mampu berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh.

Dia yang juga peserta lelaki tunggal OKU terkejut memenangi tempat kedua selepas melihat kehebatan peserta lain.

“Saya sangka tempat ketiga, namun gembira dan bersyukur selepas diumumkan naib johan.

“Saya mengambil kejayaan ini sebagai semangat mempertingkatkan hafalan al-Quran dan memperbaiki kesalahan tajwid dalam bacaan,” katanya.

Dalam pertandingan yang membabitkan 13 peserta, tempat pertama dimenangi Muhamad Azizul Kassim dari Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa UIA (CFSIIUM), manakala tempat ketiga menjadi milik Muhamad Yusuf Hassan dari Kolej Universiti Islam Sultan Ismail Petra (KIAS), Kota Bahru, Kelantan.

Abdul Aziz yang berasal dari Pontian, Johor, mahu melakukan yang terbaik selepas dipilih pensyarah mewakili kolejnya.

Sebanyak 13 institusi pengajian tinggi Islam menyertai karnival berkenaan termasuk KUIN, MARSAH, Kolej Islam Antarabangsa, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah dan Institut Al-Quran Darul Aman.

CFSIIUM dinobatkan juara keseluruhan dalam karnival membabitkan 24 acara dipertandingkan seperti Tilawah al-Quran, Hafazan al-Quran, Debat Ala Parlimen dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Arab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:38 AM