DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Anwar Ibrahim. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Infineon Technologies AG (Infineon) mengumumkan rancangan syarikat untuk membina kilang di Kulim, Kedah bagi mengeluarkan 200 milimeter (mm) Power Fab SiC (silicon carbide) terbesar di dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Infineon akan membuat pelaburan tambahan sebanyak €5 bilion (RM25 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang dalam fasa kedua pembinaan modul 3.

"Saya mengalu-alukan pengumuman pelaburan daripada Infineon yang membuktikan kepercayaan mereka terhadap Malaysia.

"Pengumuman ini adalah lanjutan daripada perbincangan saya dengan pihak syarikat Dr Rutger Wijburg, Ketua Pegawai Operasi pada 24 Julai 2023.

"Sejak lima dekad yang lalu, Infineon menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim, Kedah dan melaksanakan aktiviti pembungkusan semikonduktor cip di Batu Berendam, Melaka," katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, keyakinan berterusan Infineon terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

"Ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik.

"Pengumuman ini juga selaras dengan gagasan Ekonomi Madani yang mensasarkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 10:37 PM