PERMODALAN Nasional Bhd (PNB). FOTO Arkib NSTP
PERMODALAN Nasional Bhd (PNB). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seiring iltizam Kerajaan Perpaduan yang mahu memastikan kesaksamaan dalam masyarakat berbilang kaum, Permodalan Nasional Bhd (PNB) memaklumkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) akan ditingkatkan sebanyak RM5 bilion.

PNB dalam kenyataan berkata ianya sepertimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.

Selain itu, jumlah had pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000 sebelum ini.

"Pengumuman ini selaras dengan usaha PNB untuk terus menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia,"

"PNB menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri yang mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi berhemat dan pembangunan saksama demi menggalakkan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia," menurut kenyataan tersebut.

Berkenaan penggabungan Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, Yayasan Ekuiti Nasional dan Yayasan Pelaburan Bumiputera, PNB akan memberi sokongan terhadap cadangan pemusatan institusi-institusi dengan fungsi yang hampir sama agar lebih efektif dalam menunaikan mandat masing-masing.

"Bagi memastikan keberkesanan operasi, PNB akan bekerjasama dengan pihak yang berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 3:54 PM