M Hifzuddin Ikhsan


Baling: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan bersikap anti Kedah apabila enggan bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Nor bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Perdana Menteri berkata, sebaliknya beliau berusaha membawa pelaburan lebih besar kepada Kedah apabila firma Jerman, Infineon Technologies AG bersetuju melabur lebih RM25 bilion di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech).

"Beritahu mereka, mahu tak mahu saya sekarang Perdana Menteri, kena bincang elok-elok, ini mereka maki hari-hari. Selepas itu cakap sudah tulis surat tiga kali kepada Anwar tapi tak dijawab. Tak lapar saya nak jawab (surat), kena cakap elok-elok.

"Ini belum buat apa-apa sudah umum, bila tak lulus marah pada Anthony (Menteri Pengangkutan, Anthony Loke), marah pada saya, perkara ini ada cara dia," katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Perpaduan Madani Kedah di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau cuba bersikap adil kepada semua negeri termasuk membawa lebih banyak pelaburan ke seluruh negara.

"Saya anti Kedah? Saya bawa pelaburan RM30 bilion ke Kedah. Mereka beritahu Anwar benci Kedah, dia beri semua kepada Pulau Pinang. Saya juga beri kepada Johor, pada semua negeri, saya Perdana Menteri Malaysia.

"Untuk Kedah saya bawa Infenion yang setuju tambah pelaburan RM30 bilion, terbesar luar daripada Jerman. Di mana? Kulim. Negeri mana? Kedah. Sebab itu Kedah kena kalih bagi sama sebab kita boleh buat kerja. Jadi nak kata saya anti Kedah perhati sama," katanya.

Kelmarin, syarikat penyedia penyelesaian semikonduktor Jerman, Infineon Technologies AG mengumumkan sedia meningkatkan pelaburan sebanyak RM25 bilion bagi kemudahannya di Kulim.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelaburan itu disifatkan sebagai bukti kukuh kepercayaan firma global terhadap dasar pelaburan Kerajaan Madani dan mencerminkan kejayaan pihaknya meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 1:05 AM