Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Ceramah Umum Bersama Presiden Umno di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pantai. FOTO AZRUL EDHAM
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Ceramah Umum Bersama Presiden Umno di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pantai. FOTO AZRUL EDHAM
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Seremban: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada ahli parti itu supaya tidak melakukan sabotaj dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, sekiranya terdapat bukti nyata di media sosial, rakaman video dan audio, mereka akan dikenakan tindakan.

"(Setakat ini) tidak ada laporan rasmi diterima.

"Tapi (kalau) ada bukti-bukti yang nyata dalam media sosial, rakaman video atau rakaman audio, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi Pantai, malam ini.

Ahmad Zahid sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengingatkan kepada ahli Umno bahawa sikap menjadi 'duri dalam daging' itu sudah berlalu.

"Ini masa yang terbaik untuk kita bukan sahaja menyusun (strategi) tetapi menggerakkan jentera pilihan raya menarik sokongan bukan sahaja dalam kalangan ahli tegar, tetapi juga menyantuni rakan dalam parti Pakatan Harapan (PH) demi semangat Kerajaan Perpaduan.

"Pada waktu yang sama, kita mesti menyantuni dan menarik sokongan pengundi yang bukan menjadi ahli mana-mana parti," katanya,

Katanya, usaha itu perlu dilakukan dan jentera parti seharusnya bekerja keras bagi memastikan berlakunya gelombang baharu yang menyokong Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan pembangkang supaya tidak bersikap pilih kasih mengulas isu dakwaan rasuah dalam proses PRN yang berlangsung ketika ini.

"Saya mempnyai garis panduan sendiri dan ia berdasarkan Akta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), jangan menggunakan perkara yang demikian untuk kata kononnya ini rasuah.

"Tetapi memberi wang dengan baiah, angkat sumpah mesti undi parti itu, tidak pula rasuah jadi jangan double standard (pilih kasih) dalam perkara ini," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilapor mengumumkan pemberian geran membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu.

Pengumuman sehari sebelum penamaan calon PRN itu, dipersoalkan pelbagai pihak memandangkan ia diberikan ketika menjelang PRN di enam negeri.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kemudiannya menyifatkan tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 12:48 AM