TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO Bernama
TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO Bernama
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu kelmarin jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.

Beliau berkata, tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jelas mempunyai unsur rasuah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Walaupun pelbagai pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam pelbagai platform media sosial di atas ucapan berkenaan, namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum mengeluarkan sebarang kenyataan jauh beza dengan kenyataan segera terhadap tindakan pihak pembangkang.

"Jika di pihak pembangkang, menyediakan bas oleh kerajaan Kelantan untuk kemudahan pengundi pulang membuang undi, dengan tiada sebarang syarat sama ada mengundi sesiapa yang mereka suka pun, dianggap satu kesalahan rasuah.

"Hal yang sama dirasai rakyat apabila BERSIH yang satu masa dulu lantang memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil turut sepi ketika parti pemerintah melakukan kesalahan, namun lantang mengeluarkan kenyataan membantah, kalau hal yang sama dilakukan oleh parti pembangkang," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata BERSIH kini dilihat gagal berperanan sebagaimana ia diasaskan, kerana dilihat lebih condong menyokong parti pemerintah khususnya PH.

"Rakyat kini menuntut tindakan segera sebelum mereka menterjemahkan dalam peti undi pada 12O gos nanti," katanya.

Kelmarin, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri Terengganu.

Pada masa sama, beliau turut meminta belia yang hadir dalam acara itu memilih "gelombang biru dan merah" dalam PRN 12 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 11:33 AM