Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Seremban: Pas menggesa panduan khusus diwujudkan berhubung pemberian bantuan semasa pilihan raya.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, panduan itu diperlukan supaya semua pihak mengetahui bantuan yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh setiap parti politik.

"Kita perlu satu panduan yang mana boleh dan tak boleh dilakukan. Tak nak sekejap (kata) ini boleh, tapi bila pembangkang (nak) sediakan bas pun tak boleh.

"Sedangkan ini (terus) kata (nak) bagi duit. Dalam keputusan pilihan raya Kuala Terengganu (sebelum ini), perkara macam ini dianggap salah oleh mahkamah," katanya kepada pemberita selepas ceramah kelompok di Dewan Undangn Negeri (Dun) Paroi malam ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemberian geran membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu.

Pengumuman sehari sebelum penamaan calon PRN itu, dipersoalkan pelbagai pihak memandangkan ia diberikan ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki kemudiannya menyifatkan tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.

Azam berkata, sebagai sebuah kerajaan pemerintah, ia berhak untuk memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berpandangan, SPRM seharusnya bebas daripada segala tindakannya.

"Biar bebas dan jangan rakyat hilang keyakinan kepada institusi kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 12:38 AM