Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor Suhaizan Kaiat, bersedia memikul tanggungjawab meneruskan khidmat cemerlang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada penduduk Parlimen Pulai.

Suhaizan yang juga Ketua Amanah Pulai diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pulai oleh Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu pada kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata, beliau terharu apabila parti mempercayai kebolehan sekali gus menamakannya sebagai calon bertanding di kerusi itu.

Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor di bawah pentadbiran tiga Menteri Besar berkata, pengalamannya bertanding di pelbagai kawasan dan kerusi sejak 2004 lagi akan digunakannya jika diberi amanah menggalas tanggungjawab besar itu.

Suhaizan sebelum ini bertanding di Parlimen Parit Sulong pada 2004, Parlimen Simpang Renggam (2013), Dun Kukup (2018) dan Dun Pulai Sebatang (2022).

"Saya bersedia menerima tanggungjawab ini dan akan berusaha bersungguh-sungguh selepas pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Amanah memberi kepercayaan kepada saya bagi bertanding di Parlimen Pulai.

"Pengalaman saya bertanding pada empat Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini banyak membentuk kekuatan mental untuk terus berjuang membela nasib rakyat menerusi platform Amanah dan PH.

"Parlimen Pulai juga amat dekat di hati bukan sahaja kerana saya Ketua Amanah Pulai, malah ketika Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub menyandang kerusi itu, saya sebagai Setiausaha Politik, menyusun segala aktiviti turun padang beliau, menemaninya setiap kali aktiviti diadakan selain menjadi wakilnya di kawasan menerima pelbagai aduan masyarakat.

"Saya juga akan menggunakan pengalaman sebagai bekas Speaker Dun Johor yang mempunyai hubungan baik bukan sahaja dengan semua ahli parti, termasuk pengimbang, malah dengan masyarakat jika diberi peluang menjadi calon," katanya ditemui.

Pada PRU-15, Salahuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi.

Allahyarham menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional) yang memperoleh 31,726 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong dengan undi 20,677.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata, beliau antara lain akan memperjuangkan serta fokus terhadap isu serta permasalahan rakyat di Program Perumahan Rakyat (PPR) di Pulai.

"Parlimen Pulai terletak di tengah-tengah Bandaraya Johor Bahru dan ada empat PPR besar iaitu di Kempas, Melana, Uda Utama dan Perling yang memerlukan perhatian berikutan jumlah penduduk yang tinggi.

"Selain itu, banyak isu perumahan, penempatan penduduk serta infrastruktur yang perlu diberi perhatian, terutama masalah komuniti termasuk parkir, lif, jalan serta isu perparitan menjadi rungutan penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 11:24 AM