KAIN rentang menolak calon Pakatan Harapan yang dipasang di kawasan Parlimen Pulai. FOTO Ihsan pembaca
KAIN rentang menolak calon Pakatan Harapan yang dipasang di kawasan Parlimen Pulai. FOTO Ihsan pembaca
Omar Ahmad

Johor Bahru: Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed akan memujuk ketua cawangan yang menolak calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.

Nur Jazlan berkata beliau akan berusaha keras untuk memujuk ketua dan ahli Umno di peringkat akar umbi bagi memberikan sokongan padu kepada calon PH-BN, Suhaizan Kaiat.

"Ada dua minggu masa untuk saya pujuk mereka, bukan segelintir mereka tidak mahu bersama tetapi mungkin ada keberatan untuk mereka sokong.

"Namun jika kita dapat pujuk mereka untuk sokong calon PH, kita akan capai kemenangan," katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Bilik Gerakan P161 Pulai di Taman Perling di sini, malam tadi.

Turut Hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi DAP Johor, Liew Cin Tong; Timbalan Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Bagharib Ali dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Sebelum ini tular kain rentang yang digantung di kawasan Parlimen itu dengan perkataan 'Kami cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan'.

Untuk rekod kerusi Parlimen Pulai menjadi antara kerusi panas pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU-15) dengan pertembungan tiga penjuru, antara PH, BN dan Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU-15, Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub menang majoriti 20,989 undi mengalahkan Nur Jazlan yang memperoleh 23,026 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong meraih 14,432 undi.

Sementara itu, Nur Jazlan mengakui masih berasa kekok dengan kerjasama politik antara dua gabungan politik tersebut menerusi Kerajaan Perpaduan pada hari ini termasuk berucap atas pentas PH.

Namun Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu perlu menumpu kerjasama politik dua gabungan itu untuk melakukan perubahan positif dalam negara.

"Saya tidak mahu menggunakan ayat 'reformasi', saya tidak mahu mendengar ia lagi. Masa untuk reformasi sudah habis. Kini adalah masanya untuk mengubah haluan negara.

"Kerusi ini nampak seperti kerusi mudah buat PH, namun kemenangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub adalah berdasarkan undi Cina, tetapi kalau masyarakat Cina tidak datang undi 9 September ini, saya khuatir akan jadikan kerusi ini tergugat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 11:00 AM