Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, Johor pada 9 September lalu memberi impak positif terhadap strategi bagi blok parti Kerajaan Perpaduan apabila kedua-dua calon memenangi kedua kerusi itu.
Malah, beberapa strategi yang dilihat memberi kesan baik terhadap sokongan undi kemenangan kepada calon dari Parti Amanah Negara ialah permuafakatan yang kukuh antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Permulaan permuafakatan dibina setelah sembilan bulan membentuk Kerajaan Perpaduan membuahkan hasil dan diterjemahkan dengan baik melalui undi PRK Pulai dan Simpang Jeram.
Oleh itu, jika hal ini berterusan dengan semangat dan tekad bagi membentuk permuafakatan kukuh ia mampu diterjemahkan pula di PRK Pelangai, Pahang pada 7 Oktober depan.
Resipi permuafakatan yang terbit dan dimulai di Johor ini dilihat sebagai pemangkin kepada kebangkitan Umno di PRK Pelangai. Kerjasama yang terjalin dalam tempoh singkat memberi isyarat bahawa Umno mampu menjadi teras kepada perjuangan Melayu Islam dan kerjasama yang terbentuk di dalam Kerajaan Perpaduan akan semakin kukuh.
Tidak mustahli jika permuafakatan ini berjaya dibentuk dengan kukuh, ia mampu memberi kemenangan di dalam PRK Pelangai. Justeru, ia memberi kelebihan untuk Umno melaksanakan segala dasar bagi memperkasakan agenda Melayu dan Bumiputera dengan lebih tersusun dan ia akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Di samping itu juga, usaha mereformasikan institusi pentadbiran kerajaan akan berjalan lancar khususnya membabitkan kebertanggungjawaban tata kelola, integriti dan pembanterasan rasuah secara tuntas dapat disempurnakan.
Malah, kesungguhan dan ketegasan Kerajaan Perpaduan membanteras rasuah dan juga isu yang terkait dengan 3R (agama, kaum, institusi raja) dilihat memberi kesan terhadap sokongan rakyat dan telah diterjemahkan melalui undi di dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram. Ini menunjukkan naratif kebencian, adu domba, fitnah dan pemikiran ekstrem ditolak, manakala semangat perpaduan dan keharmonian diterima oleh majoriti rakyat.
Perkara yang menarik di dalam PRK ini memberikan pengajaran yang sangat berguna buat blok parti Kerajaan Perpaduan apabila dilihat mula sedar serangan peribadi terhadap mana-mana tokoh hanya memberikan kemenangan kepada calon yang bertanding. Keadaan ini berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah apabila serangan bertubi-tubi ke atas Menteri Besar Kedah hanya memberi keuntungan kepada pihak lawan. Situasi sama dilakukan Perikatan Nasional (PN) apabila menumpukan serangan terhadap Presiden Umno dan Perdana Menteri sehingga gagal mengemukakan idea terhadap dasar yang mampu menandingi Kerajaan Perpaduan. Hal ini memberikan kelebihan buat calon Pakatan Harapan.
Justeru, kedua belah pihak perlu sentiasa peka bahawa pendekatan yang tidak bijak di tempat yang salah akan memberi impak terhadap undi dan calon yang bertanding.
Malah, kemenangan calon PH di PRK Pulai dan Simpang Jeram dikaitkan dengan kebanyakan pemimpin khususnya Umno yang mempunyai ramai tokoh anak negeri Johor berbanding 'panglima' Perikatan Nasional yang terpaksa diimport dari luar bagi memenangkan calon yang mewakili parti mereka.
Ia sudah pasti pengajaran besar yang telah dipelajari oleh blok parti PH/BN ketika PRN enam negeri yang lalu apabila pimpinan luar tidak menambahkan bilangan undi semasa PRN di enam negeri.
Kesatuan dan setia kawan yang diterapkan terutamanya pimpinan negeri Kerajaan Perpaduan di Johor telah memberi keuntungan kepada calon yang bertanding. Justeru, pengajaran yang dapat diambil oleh kedua pihak ialah memastikan ketokohan kepemimpinan peringkat negeri perlu digilap dan dibentuk dengan menyediakan barisan baharu mantap.
Di samping itu, kempen di PRK Pulai dan Simpang Jeram yang dibawa oleh pimpinan PN yang diimport dari luar tersasar memberikan contoh negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional. Ini kerana Johor adalah antara negeri yang maju dan rakyatnya mempunyai mentaliti yang berbeza dengan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional.
Ia sepatutnya menjadi cabaran besar bagi memenangi hati pengundi di Johor memandangkan jasa Umno terlalu banyak di Johor. Justeru, PRK Pulai dan Simpang Jeram telah memberikan input yang sangat bermanfaat bagi setiap parti yang bertanding supaya sentiasa menjalankan 'Analisa SWOT' melihat kepada (kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman) bagi tujuan mencapai kemenangan di dalam pilihan raya. Berdasarkan keputusan PRK Pulai dan Simpang Jeram boleh disimpulkan bahawa Kerajaan Perpaduan berjaya menemukan strategi berkesan hasil pengalaman dari PRN enam negeri yang lalu. Kejayaan ini akan menjadikan Perikatan Nasional perlu mencari formula baharu yang lebih sesuai kerana permuafakatan yang telah terbina kukuh di dalam Kerajaan Perpaduan akan terus bangkit dan memenangi hati rakyat.
Justeru, dengan kejayaan yang diperoleh di dalam PRK ini akan memberi suntikan semangat bagi melaksanakan negara hukum yang diimpikan oleh Kerajaan Perpaduan selaras dengan matlamat melahirkan karamah insaniah (kemuliaan insan dengan adab dan nilai murni) rakyat Malaysia.
Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis