Aizat Sharif

Arau: Dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa Perikatan Nasional (PN) 'tidak laku' di Johor adalah satu 'kesilapan' buat UMNO.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PN kini sudah berada dalam pemikiran orang Melayu di seluruh Malaysia berdasarkan prestasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

"PN masuk Negeri Sembilan berjaya meraih lima kerusi, di Pulau Pinang pula (PN) mendapat 11 kerusi dan paling mengejutkan adalah di Selangor, PN meraih 22 kerusi hanya kurang tujuh kerusi untuk dapat membentuk kerajaan, jadi tidakkah disini menunjukkan bahawa satu perubahan besar berlaku.

"Jika (Nur Jazlan) kata orang Johor akan bangkit pertahan UMNO, bagaimana UMNO mahu bangkit sedangkan ia sendiri dilihat kini menjadi 'penumpang' kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Tidak malukah walhal dahulu UMNO adalah sebuah parti yang dominan serta dapat diterima semua rakyat.

"UMNO tidak boleh terbuai dengan legasi nostalgia lalu (UMNO ditubuhkan di Johor). Jika nostalgia itu membawa UMNO jadi lebih kuat maka tidak apalah tetapi UMNO semakin ditolak disebabkan pemimpin UMNO sedia ada yang lari dari prinsip," katanya selepas Mesyuarat Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perpaduan Ummah di sini, semalam.

"UMNO perlu penjenamaan semula dari segi pemikiran iaitu mereka (UMNO) tidak seharusnya bersama DAP, itu kena dibuat, ingat senangkah mahu mengubah pemikiran anak muda serta akar umbi untuk menerima DAP jika selama ini bukan main gah bercakap menolak kerjasama dengan parti berkenaan (DAP)," katanya.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sebelum ini, Nur Jazlan mendakwa gelombang PN yang bakal melanda Johor susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bagai bermimpi di siang hari.

PRK di kedua-dua kawasan itu dilaksanakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Berita berkaitan:

Jurutera berdepan pakar bedah, calon Bebas intai peluang di PRK Simpang Jeram

3 penjuru di PRK Pulai

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 12:09 PM