KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nuraliawati Sabri


Melaka: Pegawai kanan dan 14 anggota polis yang ditahan ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Seremban, Negeri Sembilan awal pagi Sabtu, sudah ditahan kerja.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, walaupun mereka belum dituduh di mahkamah tetapi tindakan untuk menahan kerja sudah diambil awal lagi.

"Ini kerana, sebagai pegawai dan anggota polis, mereka sepatutnya menjaga disiplin dengan tidak menyalah guna kuasa selain tidak terbabit dengan rasuah," katanya pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di sini, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban.

Semua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 5:14 PM