IRELAND Mohar  memulakan karier sebagai junior engineer di sebuah kapal milik  MISC pada 1992.
IRELAND Mohar memulakan karier sebagai junior engineer di sebuah kapal milik MISC pada 1992.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Selepas 24 tahun bekerja dalam pelbagai bidang kejuruteraan, bapa 10 anak mengambil langkah berani membuka syarikat perniagaan berasaskan kejuruteraan perkapalan miliknya sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Imar Maju Sdn Bhd Datuk Ireland Mohar Abdul Rahman, berkata beliau memulakan kariernya sebagai junior engineer di sebuah kapal milik Malaysian International Shipping Corporation Berhad (MISC) pada 1992 sebaik tamat pengajian sehinggalah berjaya dinaikkan pangkat kepada Jurutera Marin.

Graduan Diploma Kejuruteraan Perkapalan Politeknik Ungku Omar itu seterusnya menceburi bidang kejuruteraan mekanikal melalui bekerja kontrak pemasangan sistem pendingin hawa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan syarikat Shinryo Corporation Malaysia Sdn Bhd sebagai jurutera projek pada 1995 sehingga 2000.

Bercerita lanjut, beliau terus menimba pengalaman berharga dengan berkhidmat untuk beberapa posisi di limbungan dan pelabuhan sekitar daerah Manjung, antaranya Eksekutif Kanan Teknikal di PCS Naval Dockyard Sdn Bhd membabitkan pembinaan kapal, Penolong Pengurus Operasi Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (Lumut PORT) dan Ketua Bahagian Marin di Vale Malaysia Mineral Sdn Bhd di Teluk Rubiah di sini merangkumi tugas menguruskan keluar masuk kapal kargo.

Ireland Mohar berkata, beliau memulakan perniagaan miliknya dengan mewujudkan sebuah kedai perkakasan (hardware) pada 2013 atas jenama Zurimar Hardware di Seri Manjung di sini yang diuruskan oleh isterinya Datin Zurinda Zaini.

"Pada 2016, saya nekad tubuhkan Imar Maju Sdn Bhd kerana ingin merebut peluang pekerjaan daripada kepesatan Lumut yang membangun sebagai Bandar Maritim.

"Pada peringkat awal, syarikat ini menawarkan beberapa perkhidmatan berkaitan seperti kerja pembinaan dan pembaikan kapal, pemeriksaan dalam air, perkhidmatan penghantaran enapcemar (sludge) ke agensi pelupusan berdaftar selain membekalkan perkakasan marin.

"Bagi kerja pembinaan dan membaik pulih kapal serta enjin kita mempunyai tenaga kerja mahir mencukupi berserta kemudahan Imar Maju Worksop di Jalan Teluk Rubiah di sini," katanya.

Berkongsi cabaran dalam dunia perniagaan, beliau berkata sewaktu pandemik Covid-19 melanda pada awal 2020, syarikatnya kurang menerima permintaan dan ketiadaan projek baharu.

"Oleh sebab itu, kami memberi fokus kepada kedai hardware marin memandangkan ia sebahagian daripada perniagaan yang mendapat pengecualian untuk beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), begitu juga kerja pelabuhan yang turut tergolong dalam exceptional business.

"Alhamdulillah, rezeki ketika 2020, Vale Malaysia Mineral Sdn Bhd membuka sebut harga (tender) bagi mencari kontraktor bagi perkhidmatan mooring tali kapal kargo ke jeti dan kerja pembaikan serta penyelenggaraan Quick Release Hook. Imar Maju Sdn Bhd akhirnya diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas berkenaan bagi tempoh lima tahun.

"Cabaran lebih besar ketika itu adalah mencari wang dan membina dua unit bot mooring yang bernilai keseluruhan RM3 juta (RM1.5 juta bagi setiap unit) termasuk empat unit enjin bernilai RM550,000," katanya.

Beliau berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad atas pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang terbukti memperkasakan usahawan bidang maritim sepertinya melalui flagship program Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara.

Melalui program berkenaan, katanya, pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) menawarkan pinjaman Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SPiM) berjumlah RM1 juta dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) Perak memberikan geran pembiayaan perniagaan berjumlah RM330,000 yang dimanfaatkan bagi membinaan dua unit bot mooring.

"Selebihnya, saya cairkan aset persendirian dan mendapat bantuan rakan bagi pastikan jumlah RM3 juta dapat dikumpulkan dan pembinaan bot-bot berkenaan siap mengikut tempoh ditetapkan serta berjaya berfungsi dengan baik.

"Hasilnya 1 Julai 2021, secara rasminya Imar Maju menjalankan tugas hari pertama di Vale Malaysia Mineral Sdn Bhd sebagai kontraktor mooring dan penyelenggaraan serta pembaikan Quick Release Hook. Pada Oktober 2022 pula, Imar Maju Sdn Bhd berjaya mendapatkan tender kontrak di Kuantan Port, Pahang sebagai penyelenggara Quick Release Hook selama satu tahun.

"Semoga kemahiran dan prestasi kerja yang ditunjukkan oleh kami berjaya membantu pengoperasi di kedua-dua pelabuhan ini dengan sebaiknya.

"Terkini, kita juga mendapat kepercayaan sebuah syarikat pembuatan Quick Release Hook yang berpengkalan di China untuk menjadi ejen pemasangan teknologi berkenaan di pasaran Malaysia," katanya.

Ireland Mohar yang juga Pengerusi Persatuan Kemajuan Aura Keusahawanan Manjung (AURA) berkata, kini syarikatnya mampu menjadi sumber rezeki kepada 52 kakitangan termasuk pentadbiran dan tenaga kerja mahir di lapangan.

"Saya bersyukur kerana dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan khususnya penduduk daerah Manjung sendiri kerana antara motivasi saya ketika memulakan perniagaan ini adalah bagi memastikan limpahan manfaat pembangunan Bandar Maritim ini dinikmati oleh anak tempatan," katanya.

Beliau berkata, syarikatnya merancang bagi membina dan memiliki limbungan sendiri pada masa hadapan bagi memperluaskan perkhidmatan pembinaan dan membaik pilih kapal-kapal kargo sekali gus dijangka membuka 1,500 peluang pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 7:33 PM