Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara akan memastikan sasaran 8,000 pekerja sektor pengangkutan maritim di wilayah itu divaksin sepenuhnya hujung bulan ini dapat dicapai.

Pengarah Laut Wilayah Utara Mohd Hafiz Abdul Majid berkata, ia berikutan program pemberian vaksin Covid-19 kini dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Georgetown, Pulau Pinang dan Manjung, Perak untuk industri maritim.

Menurutnya, secara keseluruhannya dianggarkan 15,000 pekerja industri pengangkutan maritim di wilayah utara merangkumi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, seramai 8,000 pekerja sudah berdaftar di PPVIN.

"Seramai 8,000 itu membabitkan lebih 5,000 di Pulau Pinang dan 2,744 di Manjung yang mana 30 peratus daripada jumlah itu sudah lengkap menerima vaksin.

"Manakala baki selebihnya yang tidak berdaftar (di bawah program di PPVIN) akan menerima di pusat pemberian vaksin (PPV) awam (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pemberian Vaksin Covid-19 Kepada Pekerja Industri Maritim Manjung di PPVIN di Ritz Garden Hotel, Manjung yang bermula hari ini.

Program berkenaan membabitkan 2,744 penerima vaksin yang mana 200 penerima adalah pekerja Vale Malaysia Mineral Sdn Bhd (Vale), manakala selebihnya ahli keluarga pekerja Vale dan pekerja yang berkhidmat dengan 17 rakan niaga Vale.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama Vale yang menyumbangkan RM430,000 untuk program berkenaan.

Mohd Hafiz berkata, seramai 2,744 penerima vaksin di Manjung terdiri daripada pelaut dan pekerja pengangkutan maritim di Pelabuhan Lumut seperti Vale , Lumut Maritim Terminal (LMT) dan komuniti lain yang berkhidmat di pelabuhan.

Menurutnya, petugas pelabuhan memberi perkhidmatan penting selama 24 jam sehari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan demi memastikan kelancaran pergerakan barangan keperluan kepada pengguna.

"Justeru itu, program vaksinasi Covid-19 ini amat penting bagi memastikan operasi di pelabuhan berjalan lancar dan bertindak sebagai perlindungan tambahan bagi mencegah jangkitan berlaku di kawasan pelabuhan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vale di Malaysia, Rodrigo Ribeiro de Araujo berkata, pembukaan PPVIN berkenaan membantu mengurangkan bebanan infrastruktur vaksinasi setempat.

Katanya, ia juga membantu membolehkan kerajaan menumpukan perhatian dalam pemberian vaksin kepada penerima lain terutama golongan rentan.

"Seramai 600 penerima akan divaksin setiap hari di pusat ini yang beroperasi hingga penghujung Ogos ini. Kami yakin vaksinasi menyumbang kepada kemampanan industri maritim di Manjung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:27 PM
Pekerja sektor pelabuhan, Muhammad Norhanad Rukiman menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri pekerja sektor pelabuhan maritim pada hari pertama pembukaan PPV di Hotel Ritz Garden. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Pekerja sektor pelabuhan, Muhammad Norhanad Rukiman menerima vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri pekerja sektor pelabuhan maritim pada hari pertama pembukaan PPV di Hotel Ritz Garden. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM