Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Cubaan 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negara ini menggunakan bot di Pantai Teluk Pungai, Kota Tinggi, Johor, gagal selepas mereka ditahan pihak berkuasa menerusi Op Benteng, awal pagi hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar 24 jam mengesan pergerakan bot mencurigakan dari arah Pulau Batan ke perairan Malaysia pada 10.50 malam.

"Bertindak atas maklumat itu, pasukan mengatur gerak Tim (pasukan) Quick Reaction Force (QRF) untuk menjejaki dan mengepung kawasan sekitar Batu Layar, Teluk Punggai dan Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, Johor.

"Petugas Pos Pemerhati kemudian mengesan sebuah bot yang mendarat di Pantai Teluk Pungai 1.30 pagi. Hasil serbuan Tim QRF bersama anggota Polis Diraja Malaysia Cawangan Khas pada 1.45 pagi itu, 16 Pati berjaya ditahan dan seorang lagi Pati ditahan hasil maklumat pengesanan daripada tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) 2 pagi," katanya.

Menurutnya, 17 Pati yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan empat wanita warga Indonesia berusia antara 24 hingga 48 tahun dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah.

"Nilai rampasan keseluruhan dalam tangkapan ini dianggarkan berjumlah RM25,262 membabitkan wang tunai pelbagai jenis mata wang, jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit.

"Semua Pati berkenaan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, manakala laporan Polis dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

"Pasukan akan meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki Pati di sekitar kawasan tangkapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 4:40 PM
ANTARA Pati warga Indonesia yang ditahan selepas cuba memasuki negara ini di Pantai Teluk Pungai, Kota Tinggi, Johor.
ANTARA Pati warga Indonesia yang ditahan selepas cuba memasuki negara ini di Pantai Teluk Pungai, Kota Tinggi, Johor.