WAN Rosdy (dua kiri) melihat Draf RT Daerah Raub. FOTO Roselan Ab Malek
WAN Rosdy (dua kiri) melihat Draf RT Daerah Raub. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Raub: Lima permata Raub dikenalpasti dalam usaha membangunkan Raub sebagai lembah agro lestari sekali gus memperkukuhkan kedudukan daerah yang pernah dikenali sebagai bandar perlombongan emas itu ke peringkat global.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, durian Musang King yang terkenal di daerah ini menjadi antara permata Raub yang akan menjadi ikon produk pertanian daerah itu di peringkat global.

"Empat lagi permata Raub ialah Bukit Fraser sebagai eko warisan tanah tinggi, Kompleks Geopark Benum bagi kluster pelancongan geologi, bandar Raub yang bertemakan 'Raub Bandar Agro Warisan dan Eko' serta agro pelancongan di Raub.

"Apa yang saya dapati secara sepintas lalu, yang dirancang oleh pihak kerajaan tempatan iaitu Mais Daerah Raub ialah menempatkan beberapa zon tertentu bagi menarik kedatangan pelancong ke daerah ini," katanya.

Beliau berkata, untuk itu dicadangkan pembinaan model bisnes Raub Agropolitan dan cadangan Raub Agrotech Centre sebagai pemangkin kepada nilai pengeluaran hasil pertanian di daerah Raubkhususnya dan Pahang amnya.

"Dalam membangunkan keindahan Bukit Fraser yang berkonsepkan 'Little England' antara cadangan adalah pembinaan Taman Negeri Bukit Fraser, Taman Floria dan sebagainya.

"Pembinaan kompleks Geopark Benum juga amat signifikan dengan penemuan kompleks batuan igneus berusia jutaan tahun dan penemuan bunga rafflesia di Hutan Simpan Gunung Benum di sini," katanya selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan (RT) Daerah Raub di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia) Dr Shamsaini Shamsuddin.

Katanya, bagi kawasan bandar Raub pula dicadangkan pembinaan zon warisan termasuklah Muzium Warisan dan Kesenian Raub dan penggunaan tagline promosi pelancongan 'Weh Moh Ke Raub.'

Dalam pada itu beliau berkata, secara keseluruhan Draf RT Raub 2035 ini menyenaraikan 130 cadangan keseluruhan projek dan inisiatif pembangunan dengan 23 daripadanya dikategorikan sebagai 'quick win' yang perlu dilaksanakan segera.

"Antara cadangan projek 'quick win' adalah Jejak Warisan Bandar Raub, laluan seni, seni awam bandar Raub, naiktaraf Dataran Raub, pasar terapung Sungai Dong, jejak warisan Bukit Fraser dan pusat rekreasi Air Batu Malim," katanya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam merealisasikan cadangan terbabit selepas melihat kertas cadangan dengan mengambil kira faedah kepada rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 12:51 PM