RAMLI Mohamed Yoosuf. FOTO Arkib NSTP.
RAMLI Mohamed Yoosuf. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan seorang wanita menjalankan kegiatan penjualan kandungan penstriman haram di sebuah premis perniagaan di Puchong, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 29 tahun itu ditahan sedang menjual kotak android yang didapati mengandungi salinan langganan Astro secara haram.

Menurutnya, operasi yang disertai pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Astro ini turut berjaya merampas enam unit kotak android jenama SVI 9S yang tidak mempunyai rekod perakuan sirim, wang tunai berjumlah RM500 dan sekeping resit pembelian.

"Berdasarkan siasatan, sindiket ini membuat penjualan kotak android secara terus kepada pembeli di premis perniagaan mereka.

"Salinan siaran Astro hanya akan dimuat turun ke dalam peranti yang dijual apabila terdapat permintaan dari pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, sindiket akan mengenakan bayaran RM468 bagi setiap peranti yang dijual kepada pelanggan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43AA Akta Hakcipta 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 6:27 PM