Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Ketiadaan aduan rasmi daripada pengguna setakat ini dikenal pasti menyebabkan penjualan kotak Android atau Android box yang dapat mengakses siaran berbayar secara percuma selain melanggar hak cipta masih berleluasa dijual di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Dottie Azlina Ismail berkata, sekiranya aduan wujud, sudah tentu pihaknya akan menjalankan pemeriksaan serta tindakan.

DOTTIE Azlina pada sidang media. FOTO Sharul Hafiz Zam
DOTTIE Azlina pada sidang media. FOTO Sharul Hafiz Zam

"Sekiranya ada, sudah tentu kita akan jalankan pemeriksaan dan tindakan memandangkan Akta Hak Cipta 1987 memang di bawah (bidang kuasa) KPDNHEP.

"Kami belum mendapat aduan lagi berhubung kes ini (Android Box). Tidak ada aduan secara rasmi dibuat kepada KPDNHEP Perak.

"Sekiranya ada aduan pengguna ataupun arahan daripada ibu pejabat KPDNHEP (pusat) selepas ini, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan menerusi Op Menu di sekitar pusat bandar, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai penjualan alat peranti berkenaan yang dikatakan masih dijual secara berleluasa di sebilangan premis dalam negeri ini.

Sebelum ini, isu penggunaan kotak Android hangat diperkatakan apabila ia dengan mudah dapat mengakses siaran berbayar dan hak cipta tertentu dengan salah serta percuma.

Ia justeru menarik perhatian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang seterusnya mengeluarkan petunjuk fatwa (irsyad fatwa) bahawa penggunaan peranti secara sedemikian adalah diharamkan dari sudut agama kerana ia mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

Sementara itu, Dottie Azlina berkata, menerusi Op Menu yang dijalankan bermula 6 November lalu, 10 pengusaha restoran dan kedai makan dikenakan tindakan kompaun mebabitkan nilai keseluruhan RM2,600.

Menurutnya, 408 pemeriksaan dilakukan dengan tujuh daripada mereka dikompaun mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972, manakala tiga lagi di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan itu memberi tumpuan kepada restoran dengan memeriksa tanda harga yang dipamerkan selain pemeriksaan ke atas restoran yang menggunakan alat timbang bagi menentukan harga setiap makanan yang dibeli.

"Adalah menjadi kesalahan ke atas peniaga jika menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

"Kita akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas pengusaha kedai makan dan restoran dari masa ke semasa sebagai satu daripada langkah proaktif KPDNHEP Perak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 10:23 AM