RAMLI. FOTO Arkib NSTP
RAMLI. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Rekrut rakyat tempatan termasuk ejen hartanah dan peguam cara untuk uruskan sewa premis atau beli hartanah dengan dibayar gaji dan komisen pada kadar tertentu.

Itu modus operandi sindiket penipuan Fail Android Package Kit (APK) luar negara yang menjalankan penipuan di negara ini dengan mengupah rakyat tempatan dengan pembayaran komisen secara dalam talian tanpa mereka mengenali ketua sindiket itu.

Sindiket itu turut mengupah rakyat tempatan bagi menjalankan aktiviti penipuan itu di mana apabila ditahan mereka ini tidak mempunyai maklumat lengkap berkaitan ketua sindiket terbabit.

Hal ini kerana penipuan menggunakan Fail APK ini adalah jenayah dalam talian yang mana ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja sama ada dari dalam atau luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi sindiket luar negara yang menjalankan aktiviti penipuan ini di dalam Malaysia pada kebiasaannya pihak sindiket akan mendapat bantuan daripada rakyat di sini.

Menurutnya, penduduk tempatan akan mengurus penyewaan premis dan juga pembelian hartanah melalui aktiviti penipuan.

"Kadang-kadang rakyat Malaysia sama ada penyewa, ejen hartanah atau peguam dalam sedar atau tidak sedar memberi kerjasama kepada sindiket penipuan ini.

"Terdapat juga serbuan atau tangkapan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pusat panggilan di mana premis itu terdapat pekerja atau ejen rakyat tempatan yang dibayar berdasarkan gaji dan komisen," katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Ramli Mohamed berkata, dalam soal siasat yang dijalankan, mereka tidak mengenali ketua sindiket yang mengambil mereka bekerja dalam aktiviti penipuan.

"Sindiket penipuan fail APK ini sebenarnya membabitkan beberapa kumpulan penjenayah yang mempunyai peranan yang berbeza-beza.

"Bagi sindiket ini, kumpulan-kumpulan yang terbabit adalah seperti sindiket yang membangunkan aplikasi Fail APK di mana peranannya membangunkan aplikasi itu untuk digunakan oleh sindiket bagi mendapatkan maklumat di dalam peranti mangsa," katanya.

Beliau berkata, sindiket akaun 'mule' pula berperanan mencari pemilik akaun bank yang ingin menjual atau menyewakan akaun bank untuk mendapat bayaran.

"Ia juga berperanan untuk membuat pindahan segera wang-wang mangsa ke akaun akaun mule (layering) yang dimiliki oleh sindiket bagi melambatkan proses pengesanan wang berlaku.

"Sindiket pengeluaran wang pula berperanan mengeluarkan wang dari akaun bank mule di mesin-mesin pengeluaran wang (ATM) seluruh Malaysia dan sering berubah-ubah lokasi," katanya.

Katanya, kebiasaannya sindiket akaun mule dan pindahan wang ini berfungsi untuk mengumpul wang hasil jenayah di akaun-akaun tertentu sebelum dikeluarkan oleh sindiket pengeluaran wang.

"Orang ramai perlu sentiasa melindungi maklumat perbankan seperti identiti (ID) pengguna, kata laluan Internet perbankan, kod pengesahan transaksi (TAC) atau kata laluan sekali saja (OTP) dan nombor kad ATM atau kad kredit.

"Maklumat-maklumat ini tidak boleh dikongsikan dengan mana-mana pihak sekalipun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 12:48 PM