Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 1.69 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1.13 juta dalam serbuan di Kampung Gunong, Bachok, Isnin lalu.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, sepasukan anggota membuat rondaan sebelum mengesan sebuah lori dalam perjalanan dari Pantai Melawi ke arah Gunong dalam keadaan mencurigakan kira-kira 5 pagi.

Menurutnya, anggota mengekori kenderaan terbabit, namun pemandu bertindak terjun dari lori bagi melarikan diri selepas menyedari diekori pihak berkuasa.

"Anggota kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati lori terbabit dipenuhi dengan muatan rokok dipercayai diseludup dari negara jiran melalui laluan laut sebelum dipindahkan ke pesisir pantai.

"Berdasarkan risikan, bekalan rokok ini dibawa menggunakan kapal besar yang akan berhenti di sempadan (di) laut sebelum penyeludup bertindak membawanya berulang kali menggunakan bot kecil ke sekitar Pantai Melawi, Bachok.

"Selepas itu, rokok-rokok berkenaan diisi ke dalam lori untuk dibawa ke Lembah Klang bagi tujuan pasaran," katanya dalam sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Wan Jamal berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik barangan dan lori yang dirampas.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000.

Katanya, pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

"Rampasan ini adalah yang terbesar dilakukan oleh JKDM Kelantan bagi tahun ini dan pihak kami akan terus memerangi jenayah penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara, malah mendatangkan ancaman keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 1:32 PM
Wan Jamal (dua dari kiri) menunjukkan antara rokok seludup yang dirampas pihaknya dalam serbuan di Kampung Gunong, Bachok, jam 5 pagi, Isnin lalu. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Wan Jamal (dua dari kiri) menunjukkan antara rokok seludup yang dirampas pihaknya dalam serbuan di Kampung Gunong, Bachok, jam 5 pagi, Isnin lalu. FOTO SYAHERAH MUSTAFA