FOTO hiasan
FOTO hiasan
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas rokok seludup berjumlah lebih RM860,969 melalui 19 rampasan dalam tempoh sebulan sepanjang Januari 2021.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, nilai terbabit termasuk jumlah duti atau cukai yang mana semua rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk secara haram dari negara jiran, Thailand, melalui Sungai Golok dan pesisir pantai negeri itu.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati rokok-rokok terbabit adalah untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan khususnya untuk di Pantai Timur bergantung kepada permintaan.

"Dalam masa sama, pihak kami sedang menyiasat semua kes ini yang turut membabitkan sitaan kenderaan jenis lori serta kenderaan lain yang membawa rokok-rokok berkenaan dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam.

"Selain itu, mereka juga boleh dikenakan denda RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Rakbi berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 7:08 PM