GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Enam individu termasuk pegawai agensi keselamatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki terbabit tuntutan palsu dan rasuah membabitkan pembekalan peralatan senjata berjumlah lebih RM550,000.

Sumber berkata, mereka yang ditahan adalah seorang pengurus syarikat dan lima pegawai agensi keselamatan berusia antara 30 hingga 40-an.

"Kesemua suspek lelaki ditahan di pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira 10 malam tadi.

"Mereka disyaki terbabit dalam tuntutan palsu yang dilakukan pada tahun lalu sedangkan kerja itu tidak dibekalkan," katanya.

Lima suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 Ogos ini, manakala seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM akibat masalah kesihatan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wong Chai Sia di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 6:24 PM