Lelaki yang juga suami kepada penerbit rancangan disyaki mengemukakan tuntutan palsu lebih RM300,000 ditahan reman SPRM. FOTO Ihsan SPRM
Lelaki yang juga suami kepada penerbit rancangan disyaki mengemukakan tuntutan palsu lebih RM300,000 ditahan reman SPRM. FOTO Ihsan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Suami kepada penerbit rancangan yang disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM300,000 ditahan reman, hari ini.

Lelaki berusia 41 tahun terbabit direman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes sama.

Permohonan reman dibenarkan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira 5 petang semalam.

"Difahamkan, suspek terbabit dan bersubahat dengan isterinya, yang juga penerbit rancangan sebuah agensi penyiaran dengan mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu bagi tiga rancangan dokumentari berjumlah lebih RM300,000 pada tahun 2017 dan 2018 sedangkan rancangan itu tidak dilaksanakan.

"Penerbit rancangan itu sudah ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga 14 Januari ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman mengesahkan penahanan lelaki itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang penerbit rancangan ditahan SPRM kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM300,000.

Difahamkan, wanita berusia 40 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini, jam 8 malam Isnin.

Berita berkaitan

Disyaki kemukakan tuntutan palsu lebih RM300,000

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:40 PM