Bekas pengurus syarikat ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes dokumen perjanjian kontrak kerja palsu bagi memohon kuota pekerja asing. FOTO Ihsan SPRM
Bekas pengurus syarikat ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes dokumen perjanjian kontrak kerja palsu bagi memohon kuota pekerja asing. FOTO Ihsan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bekas pengurus sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu bagi memohon kuota pekerja asing.

Sumber berkata, lelaki berusia 40-an terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini, kira-kira 6 petang semalam.

"Siasatan awal mendapati suspek bersama tujuh pengarah syarikat daripada empat syarikat memohon kuota pekerja asing di Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan mengemukakan dokumen perjanjian kontrak kerja palsu.

"Suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2022 membabitkan 25 kontrak kerja palsu dengan anggaran kira-kira RM77 juta," katanya.

Menurut sumber, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Julai.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 6:58 PM