Pekerja Am yang ditahan SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, untuk mendapatkan perintah reman. FOTO Ihsan SPRM
Pekerja Am yang ditahan SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, untuk mendapatkan perintah reman. FOTO Ihsan SPRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang pekerja am ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM15,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor, 7.30 malam tadi.

"Suspek yang kini bertugas di sebuah jabatan di Selangor itu disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan kerja pembaikan rumah.

"SPRM menerima aduan bahawa suspek mengemukakan dokumen tuntutan bayaran yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah pihak berkuasa tempatan di sebuah daerah di Selangor bagi kerja baik pulih rumah menerusi syarikat kontraktor sedangkan kerja baik pulih itu tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Berikutan itu, sumber berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut.

Tempoh reman itu ditetapkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 1:08 PM