GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penolong pegawai sebuah agensi perladangan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Klang bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan sekitar jam 4 petang hari ini ketika hadir di pejabat SPRM Selangor untuk memberikan keterangan.

Difahamkan, pada tahun 2018, suspek yang ketika itu bertugas sebagai pengurus perniagaan agensi sama di Klang bersubahat dengan seorang pemilik syarikat dalam mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja pembekalan pasir sungai dan tanah kepada agensi perladangan berkenaan, sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 9:48 PM