Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan menunggu laporan penuh bedah siasat bayi perempuan, 11 bulan, dipercayai meninggal dunia akibat tersedak susu di rumah pengasuhnya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher berkata, siasatan awal polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah termasuk penderaan atau pengabaian terhadap mangsa.

"Pengasuh wanita berusia 34 tahun itu juga tidak ditahan namun siasatan lanjut masih dijalankan sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh.

"Setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Rumah Awam Ayer Molek, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 3:12 PM