LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini, mengenai bayi disahkan meninggal dunia akibat tersedak susu.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini, mengenai bayi disahkan meninggal dunia akibat tersedak susu.
Mohd Sabran Md Sani


PENGASUH bayi lelaki berusia empat bulan yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu ketika berada di rumah wanita itu di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, petang semalam, ditahan polis 4.15 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, suspek ditahan di Kampung Melayu Majidee dan permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Johor Bahru pada 10 pagi esok.

Terdahulu, bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu ketika berada di rumah pengasuhnya itu.

Bapa mangsa, Muhd Hafez Mohamad, 32 berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja dan sebaik dimaklumkan pengasuh kira-kira 2.30 petang bahawa anaknya, Harraz tidak sedarkan diri, dia bergegas ke rumah pengasuh dengan menunggang motosikal.

Menurutnya, sebaik tiba dia dapati anak lelakinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri serta sudah kebiru-kebiruan.

Polis kemudian mengklasifikasikan kematian bayi itu sebagai mendatangkan kematian secara cuai.

Shahurinain berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Menurutnya, laporan bedah siasat dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan punca kematian adalah tersedak susu atau ‘aspiration pneumonia’.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Sah maut tersedak susu'

'Terdetik anak sudah tiada'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:57 PM