GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas lebih 24 jam menerima rawatan akibat tersedak susu semasa berada dalam jagaan pengasuh di sebuah rumah di Putrajaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Putrajaya berhubung kejadian itu, kelmarin.

"Semasa pengadu bersama pasukan ambulans tiba, dia mendapati ibu bayi itu sedang membuat bantuan kecemasan pernafasan (CPR).

"Bayi itu yang tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut dan ditempatkan di zon merah dalam keadaan kritikal," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Asmadi berkata, berdasarkan keterangan pengasuh, dia memberi susu kepada mangsa sebelum bayi itu tiba-tiba tersedak dan mengeluarkan air susu dari hidungnya.

"Pengasuh itu kemudian cuba memberi bantuan dengan menepuk dan menggosok belakang mangsa, namun dia tidak sedarkan diri sebelum dia menghubungi ambulans serta ibu bayi berkenaan.

"Selepas dimasukkan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya, mangsa dimaklumkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang semalam," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati pengasuh berkenaan tidak mempunyai lesen dan sijil daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pengasuh terbabit menjaga empat bayi dan kanak-kanak yang berusia lingkungan empat bulan hingga tiga tahun.

"Semasa kejadian, hanya pengasuh itu saja orang dewasa yang berada di rumah terbabit," katanya.

Katanya, proses bedah siasat terhadap mayat bayi berkenaan dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya, semalam.

"Bagaimanapun, punca kematian mangsa masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan 1984," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 1:43 PM