Hisham Mohammad.
Hisham Mohammad.
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Sebanyak 28,489 kes kebakaran direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negara ini sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kes yang direkodkan itu membabitkan kebakaran terbuka, premis dan bangunan termasuk kediaman.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati berlaku peningkatan membabitkan kebakaran terbuka terutama di tapak pelupusan sampah.

"Daripada 28,489 kes kebakaran yang berlaku tahun lalu, jumlah kes didapati menurun berbanding 35,902 kes pada 2021.

"Bagaimanapun, sebanyak 19,620 kes kebakaran direkodkan berlaku dari Januari lalu hingga bulan ini di seluruh negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr Alias Razak merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran JBPM Terengganu, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah JBPM Terengganu, Hassan 'As'ari Omar.

Katanya, pihaknya turut mendapati lebih 9,000 kes kebakaran direkodkan berlaku di kawasan pelupusan sampah setakat Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:25 PM