Nor Hisham Mohammad
Nor Hisham Mohammad
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lebih 5,000 panggilan menangkap ular di diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ia membabitkan 2,797 kes dilaporkan pada Januari lalu dan 2,297 kes direkodkan pada Februari lalu.

Beliau berkata, faktor cuaca lembap sepanjang musim tengkujuh lalu dan cuaca panas menyebabkan reptilia itu keluar mencari perlindungan baru.

"Kebanyakan ular yang ditangkap adalah spesis tedung, senduk dan sawa yang masuk ke kediaman penduduk serta kawasan kebun.

"Pada musim sejuk, binatang berbisa ini akan keluar mencari habitat baru dan ia juga berlaku ketika bila musim panas, jadi anggota kita sentiasa bersiap sedia.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri jika berdepan ancaman haiwan berbisa ini bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, negara kini mengalami musim kering atau kurang menerima hujan pada Monsun Barat Daya bermula Mei hingga September depan.

Katanya, lebih 400 lokasi dikenal pasti berisiko berlaku kebakaran terbuka akan diberi tumpuan membabitkan kawasan gambut, tapak pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan yang diselia oleh pihak berkuasa tempatan.

"Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka sebagai langkah mudah bagi membuka kawasan pertanian terutama di kawasan berisiko," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 3:11 PM