GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 8,427 kes kebakaran terbuka membabitkan hutan, kebun, belukar dan sampah bermula Januari sehingga 14 Mac lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Soiman Jahid berkata, daripada jumlah itu, 5,718 kes membabitkan kebakaran belukar dan lalang.

Beliau berkata, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi apabila 1,701 kes kebakaran direkodkan diikuti Johor (1,601 kes) dan Perak (1,040 kes).

"Cuaca panas yang melanda negara ketika ini menyebabkan berlakunya peningkatan kes kebakaran terbuka termasuk kebakaran belukar dan hutan.

"Biasanya pada musim kemarau, kita akan hadkan kelulusan cuti anggota iaitu tidak lebih 20 peratus di setiap balai dibenarkan mengambil cuti bagi memastikan keanggotaan untuk operasi pemadaman ini mencukupi.

"Untuk operasi pemadaman kebakaran terbuka ini, kita ada lebih 13,000 pegawai dan anggota pelbagai pangkat serta seramai 1,933 bomba bantuan," katanya ketika ditemui selepas melakukan Lawatan Kerja Rasmi di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di sini semalam.

SOIMAN memeriksa perbarisan ketika melakukan lawatan kerja di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
SOIMAN memeriksa perbarisan ketika melakukan lawatan kerja di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Dalam pada itu, Soiman turut menyarankan JBPM negeri berkolaborasi dengan agensi kerajaan atau pihak swasta untuk mendapatkan atau menyewa dron bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan dan tanah gambut berskala besar.

Katanya, inisiatif itu dapat membantu pihak bomba mengenal pasti keluasan kawasan kebakaran dan menentukan tindakan yang perlu dilakukan dengan lebih pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 2:26 PM