Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad (kiri) melancarkan majlis Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pusat membeli belah hari ini. FOTO BERNAMA
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad (kiri) melancarkan majlis Ops Siaga Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pusat membeli belah hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Negara merekodkan peningkatan kes kebakaran terbuka yang sangat drastik dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, antara lain disumbang faktor cuaca panas dan kering melampau, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pada Februari lalu, kes kebakaran terbuka yang direkodkan adalah sebanyak 5,556 kes iaitu peningkatan melebihi enam kali ganda atau 645 peratus berbanding 746 kes yang direkodkan pada Januari.

Nga berkata antara negeri yang mengalami peningkatan tertinggi adalah Kedah dengan 741 kes, Selangor (661 kes), Johor (505 kes) dan Sabah sebanyak 534 kes.

"Malaysia kini berada dalam fasa cuaca panas dan kering melampau dan dijangka memberikan impak kepada peningkatan signifikan bagi kes kebakaran terbuka membabitkan hutan, ladang, belukar dan api sampah.

"Lonjakan kes kebakaran terbuka meningkat mendadak terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan, negeri-negeri di utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak," katanya ketika melancarkan Op Siaga Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.

Sementara itu dalam sidang media Nga berkata negara merekodkan sejumlah RM2.62 bilion kerugian kebakaran sepanjang tahun lepas merangkumi pelbagai jenis insiden kebakaran berskala besar dan domestik.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka baik bagi pelupusan sampah ataupun untuk tujuan pertanian pada musim kemarau ini.

Nga berkata sehingga kini, JBPM sudah mengenal pasti 652 kawasan titik panas yang berisiko untuk berlaku kes kebakaran terbuka dengan lokasi tumpuan termasuklah tanah gambut, tapak pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan sampah yang diselia oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dalam pada itu beliau berkata bagi tempoh sehingga Februari lepas, JBPM telah memeriksa 4,900 bangunan, termasuk 558 pusat beli-belah, daripada sasaran 17,000 bangunan di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Terdahulu, Nga menyerahkan lima unit pertama jentera kompak (compact fire rescue tender CFRT) kepada JBPM bagi memastikan kesiapsiagaan jentera dan pesawat serta kesiapsiagaan keanggotaan serta logistik yang mencukupi.

Op Siaga bertujuan menyusun strategi awal bagi persediaan dan kesiapsiagaan menghadapi insiden kecemasan yang mungkin berlaku sepanjang musim perayaan.

Sementara itu, Nor Hisham berkata lima unit pertama CFRT itu akan ditempatkan di masing-masing dua unit di Selangor dan Johor manakala satu di Perak.

Jentera kompak itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 150 unit dengan proses penerimaan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2028, katanya.

Mengulas persediaan sempena Aidilfitri, Nor Hisham berkata seramai 13,286 anggota dan 2,168 pasukan bomba bantuan dari 338 balai seluruh negara bersiap siaga bagi menghadapi kecemasan sepanjang musim perayaan.

"Cuti pegawai dan anggota dihadkan kepada 30 peratus sahaja sepanjang tempoh Op Siaga Raya Aidilfitri kali ini," katanya.

Beliau berkata JBPM juga menempatkan 432 anggota bomba di 13 lokasi selain 34 jentera khas di lapan negeri sepanjang penugasan Op Selamat sempena Aidilfitri 2024 pada 8 hingga 13 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 3:41 PM