Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan Perak menyerahkan kepada agensi berkaitan mengenai keputusan untuk menukarkan tangki pam tandas daripada jenis seramik kepada lebih selamat seperti plastik untuk kegunaan di semua sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata, ketika ini penggunaan tangki pam tandas jenis seramik perlu dipantau bagi memastikan penggunaannya dijamin selamat.

Menurutnya, perkara itu perlu dibincang secara teliti bersama bahagian teknikal kerana urusan ubah suai atau naik taraf penyelenggaraan di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pembangunan Luar Bandar (JPLB) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

"Maksudnya penggunaan itu mungkin berdasarkan pada kesesuaian lokasi dan juga kemampuan daya tahan sesuatu tempat itu. Ia juga bergantung pada sebut harga atau skop kerja yang dibuat oleh pihak tertentu khususnya JKR dan sebagainya.

"Ia bergantung pada penilaian oleh jabatan teknikal memandangkan mereka lebih arif berkaitan dengan kesesuaian penggunaan pam tandas jenis seramik atau plastik.

"Saya tidak katakan tiada keperluan untuk menukar dahulu penggunaannya kepada jenis plastik, sebaliknya ianya harus dinilai dan dipantau berdasarkan kesesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Ziarah Cakna ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin, Jerman, Nur Asliza Mohd Sapri di Jalan Pasir Puteh, di sini, semalam.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga membentuk jawatankuasa bagi membincangkan perkara berkaitan keselamatan murid yang menjadi keutamaan.

Katanya, kes murid dihempap tangki pam tandas itu selesai memandangkan pihak sekolah sudah melakukan prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya sejurus kejadian berlaku.

"Dari segi SOP, pihak sekolah mematuhinya. Cuma saya menyeru supaya pihak sekolah termasuk di sekolah lain membuat pemantauan dan penyeliaan supaya keadaan serta fizikal kawasan tandas perlu sentiasa dilihat (selamat)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan murid perempuan Tahun Tiga Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, cedera termasuk bengkak pada kiri kepala selepas tangki pam tandas jenis seramik jatuh lalu menimpanya ketika menggunakan tandas, petang Selasa lalu.

Kejadian itu menyebabkan mangsa trauma apabila sehingga kini terpaksa meminta rakan untuk menemaninya jika perlu ke tandas kerana bimbang kemalangan itu berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 10:52 AM
KHAIRUDIN di kediaman pemenang pingat emas Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin, Jerman bagi acara Lontar Peluru Nur Asliza di Persiaran Taman Taiping. FOTO Muhamad Zulsyamini Sufian Suri
KHAIRUDIN di kediaman pemenang pingat emas Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin, Jerman bagi acara Lontar Peluru Nur Asliza di Persiaran Taman Taiping. FOTO Muhamad Zulsyamini Sufian Suri