GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Labuan: Projek Pembangunan Fasa Dua Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan dijangka siap sebulan awal daripada jadual iaitu pada Mac ini.

Projek berharga RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11 Rolling Plan Pertama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu adalah sebagai tambahan kepada jeti sedia ada di LKIM, Kiamsam untuk tujuan pendaratan ikan susulan pertambahan jumlah pendaratan hasil laut.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Ir. Suhaizad Sulaiman berkata jeti sedia tidak dapat menampung kapasiti pendaratan ikan yang merekodkan pertambahan.

"Projek pembanguna fasa dua ini dimulakan pada 18 Feb 2019 dipantau secara dekat oleh pihak JKR bagi memastikan kelancaran projek dan mengikuti spesifikasi yang ditetapkan.

"Meskipun kontraktor menghadapi cabaran seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 dan kekangan bekalan bahan binaan di Labuan dan Sabah, namun mereka mempamerkan prestasi yang baik untuk menyiapkan projek ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Projek pembangunan fasa dua LKIM itu merangkumi pembinaan jeti berbentuk dermaga dwifungsi sebagai jeti tambatan dan jeti pendaratan, satu unit kuarters (Kelas E), empat unit (Kuarters Kelas G), menara tangki air, tangki sedutan dan rumah pam.

Projek pembangunan itu juga membabitkan pembinaan sistem retikulasi air luaran, sistem kumbahan dan tangki, sistem rawatan kumbahan kecil (SSTS), sistem saliran air permukaan, sistem saliran dalaman, naik taraf sistem saliran tepi jalan dan jalan utama serta kerja elektrikal dan mekanikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 1:45 PM