ABANG Johari menerima kunjungan hormat Maszlee di Pejabat Ketua Menteri, semalam. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari menerima kunjungan hormat Maszlee di Pejabat Ketua Menteri, semalam. FOTO Nadim Bokhari
BERNAMA

KABINET hari ini meluluskan dan bersetuju hutang RM1 bilion kerajaan Sarawak terhadap kerajaan Persekutuan akan digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu susulan daripada persetujuan antara beliau dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika lawatannya ke Kuching, semalam.

Menurut kenyataan itu, dengan kelulusan berkenaan, ia akan memberi manfaat kepada 436,000 murid di seluruh Sarawak.

“Kabinet juga bersetuju supaya projek ini dipantau rapi untuk memastikan wang RM1 bilion benar-benar digunakan secara cekap dan memberi manfaat kepada semua murid serta guru di sekolah yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa khas yang akan dianggotai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan serta Kerajaan Negeri Sarawak akan ditubuhkan untuk memastikan tadbir urus bersih dan proses telus dapat dilaksanakan.

“Di peringkat pelaksanaan pula, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan ditugaskan sebagai agensi pelaksana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 10:18 PM