Najib mendengar penerangan mengenai projek baik pulih di SJKT Dengkil.
Najib mendengar penerangan mengenai projek baik pulih di SJKT Dengkil.
Oleh Hayati Ibrahim


Dengkil: Penggunaan teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) untuk membaik pulih bangunan sekolah uzur dan kritikal akan diperluaskan ke seluruh negara dengan enam sekolah di Sarawak dikenal pasti sebagai projek permulaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kejayaan pelaksanaan IBS untuk membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil, di sini, dijadikan projek perintis untuk memperluaskan penggunaan sistem itu ke sekolah lain.

“Penggunaan teknologi IBS membolehkan projek disiapkan dalam jangka masa lebih singkat berbanding sistem konvensional dan saya difahamkan harganya pun lebih kompetitif, sekali gus menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Menerusi kejayaan projek ini (SJKT Dengkil), kita akan melanjutkan (penggunaan teknologi IBS) ke sekolah lain. Selepas ini sekurang-kurangnya enam sekolah di Sarawak akan dibina menggunakan kaedah IBS,” katanya selepas meluangkan masa hampir satu jam meninjau wajah baru SJKT Dengkil, di sini, semalam.

Turut mengiringi tinjauan ialah Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan I P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan guru besar SJKT Dengkil M Tamilsekaran.

Enam sekolah yang akan dibaik pulih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Seduku, SK Nanga Pua Selangau, SK Kalok Pusa, Betong, SK Abang Man Simunjan, SK Kampung Tanam Mukah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau.

Beliau meluahkan perasaan gembira dan puas hati dengan kejayaan membaikpulih SJKT Dengkil menggunakan kaedah IBS, selain mengganggapnya projek istimewa.

“Saya gembira kerana apa yang saya impikan untuk membawa transformasi besar pada sekolah ini dapat dilakukan dalam masa singkat...dalam tempoh lebih kurang 40 hari saja sekolah ini bertukar wajah.

“Kini, ia memiliki sebuah blok dua tingkat baharu, satu blok tambahan, makmal sains, perpustakaan dan bilik guru dan tandas yang dinaiktaraf dan longkang besar,” katanya.

Sementara itu, tinjauan berkenaan susulan lawatan beliau pada 29 Oktober lalu yang mengarahkan supaya penambahbaikan dilakukan terhadap beberapa kemudahan di sekolah itu yang tidak kondusif untuk persekitaran pembelajaran bagi 280 murid dan 24 guru.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, penambahbaikan enam sekolah di Sarawak menggunakan teknologi IBS adalah RM2 juta setiap satu berbanding kaedah konvensional yang boleh mencecah kos sehingga RM5 juta setiap satu.

“Penambahbaikan SJKT Dengkil contohnya hanya membabitkan kos RM1.6 juta berbanding RM2 juta jika dibina dengan kaedah konvensional.

“Malah, teknologi ini diperakui selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), sebab itu kita menggunakannya sebagai alternatif untuk membaikpulih sekolah uzur dan kritikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:08 AM