MUHAMMAD Sanusi Md Noor. FOTO arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi Md Noor. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kertas siasatan membabitkan tiga pemimpin parti politik yang menyentuh isu 3R akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara secepat mungkin.

Tiga pemimpin yang disiasat itu membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara secepat mungkin.

"Setakat pagi ini, polis sudah menerima 57 laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Kertas siasatan membabitkan tiga pemimpin terbabit akan diserahkan secepat mungkin dan dijangka dalam minggu depan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Muhammad Sanusi disiasat berhubung kenyataannya didakwa mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.

Polis membuka siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Ahad lalu, polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi berkaitan kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.

Kenyataan itu dipercayai dilakukan melalui hantaran dalam Facebook Abdul Hadi dimuat naik pada 8 Julai lalu.

Guan Eng pula disiasat selepas mendakwa 'gelombang hijau' bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 2:24 PM