MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Syaharim Abidin.
MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Syaharim Abidin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan diambil keterangan esok berhubung kenyataannya Pulau Pinang milik Kedah.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, siasatan berhubung kenyataan itu dibuka selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan polis.

"Rakaman percakapan MB Kedah di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah akan dilakukan pada 7 Jun (Rabu).

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman di bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes masih di peringkat siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima empat laporan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan Pulau Pinang milik Kedah.

Sebelum ini Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng menggesa rakyat Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang disifatkannya sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, beliau sedia disiasat polis berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah hak Kedah dan negeri diterajuinya itu hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:42 PM